ANGKA kematian serangan bom di Sri Lanka meningkat kepada 138 orang manakala lebih 400 lagi dilaporkan cedera. FOTO EPA
Reuters

COLOMBO: Angka kematian membabitkan serangan bom di tiga gereja dan tiga hotel di Sri Lanka meningkat kepada 138 orang manakala lebih 400 lagi dilaporkan cedera.

Jurucakap polis berkata, lebih 50 orang mangsa dilaporkan terbunuh di sebuah gereja di Katuwapitiya, utara Colombo.

Manakala media tempatan melaporkan, 25 lagi mangsa maut dalam serangan di sebuah gereja di Batticaloa.

Pihak berkuasa turut mengesahkan sembilan daripada mangsa terdiri daripada rakyat asing.

Tiga hotel mewah yang terbabit dalam serangan itu ialah Shangri-La Colombo, Kingsbury Hotel dan Cinnamon Grand Colombo.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa yang terbabit dalam letupan di bangunan hotel.

Sehingga kini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan di negara yang mempunyai sejarah perang sejak beberapa dekad lalu dengan kumpulan pemisah Tamil sehingga 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 3:26 PM