KAWASAN kompleks Masjid Al-Aqsa terbakar. FOTO/AGENSI
Agensi

BAITULMAQDIS: Kawasan kompleks Masjid Al-Aqsa dilaporkan mengalami kebakaran ketika Gereja Notre Dame di Paris, Perancis turut dilanda kejadian sama, awal pagi tadi.

Newsweek melaporkan, satu rakaman di media sosial menunjukkan terdapat asap serta api dari bumbung Masjid Marwani dan Kandang Kuda Nabi Sulaiman.

Agensi Berita Palestin yang memetik seorang pengawal kompleks itu berkata, api mula marak dari bilik pengawal terletak di luar bumbung masjid terbabit namun ia berjaya dipadamkan oleh anggota bomba pihak berkuasa wakaf.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Al-Aqsa dan Jabatan Wakaf Baitulmaqdis, Sheikh Azzam al-Khatib memberitahu stesen televisyen Jordan, Al Mamlaka bahawa kebakaran tercetus dari perkarangan masjid dan maklumat awal menunjukkan ia mungkin berpunca daripada perbuatan kanak-kanak yang bermain di situ.

Masjid Marwani terletak di bahagian bawah di sudut tenggara antara Al Haram Al Sharif yang turut menempatkan Kubah Batu dan Masjid Al Aqsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 11:14 AM