54,000 kediaman dan premis perniagaan di Pennsylvania terputus bekalan elektrik.
Reuters

WASHINGTON: Lebih 54,000 kediaman dan premis perniagaan di Pennsylvania terputus bekalan elektrik susulan ribut teruk melanda pantai timur Amerika Syarikat, hari ini.

Berdasarkan maklumat di laman web PowerOutage.US, lebih 139,000 lagi gangguan elektrik dilaporkan di New York, Rhode Island, Virginia, North Carolina, Maryland dan New Jersey.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan hujan lebat dan banjir kilat di kawasan timur laut.

Sabtu lalu, ribut itu mencetuskan puting beliung dan mengorbankan lima orang termasuk tiga kanak-kanak.

Dua beradik masing-masing berusia tiga dan lapan tahun maut dihempap pokok ketika duduk di atas sebuah kereta di Pollok, Texas.

Pada hari sama, Sebastian Omar Martinez, 13, lemas apabila terjatuh ke dalam longkang dipenuhi air banjir kilat berhampiran Monroe, Louisiana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:32 PM