SEDUTAN video memaparkan lelaki itu menolak semula anaknya ke dalam restoran ketika beredar.
Agensi

GUANGDONG: Seorang bapa tergamak ‘pajak’ anak perempuan berusia dua tahun kepada pemilik sebuah restoran di Foshan apabila gagal bayar makanannya, baru-baru ini.

Lelaki dikenali sebagai Ding itu berbuat demikian selepas mendapati dia kurang satu yuan untuk membayar semangkuk mee berharga enam yuan pada 6 April lalu.

Ding memberitahu pemilik restoran dia meninggalkan kanak-kanak itu di premis berkenaan dan akan mengambilnya keesokan hari.

Rakaman CCTV diperoleh stesen Southern Television Guandong memaparkan lelaki itu menolak semula anaknya ke dalam restoran ketika beredar.

Pemilik restoran itu bertindak menghubungi polis selepas Ding gagal ditemui dan mengingati lelaki terbabit berniat membuang anaknya.

Namun, selepas beberapa jam, Ding kembali ke restoran itu dan terkejut apabila mendapati anaknya sudah diserahkan kepada polis.

Jurucakap polis berkata, lelaki berkenaan mengambil masa lama kerana skuter elektrik miliknya kehabisan bateri dan terpaksa menunggu kenderaan itu dicaskan semula.

Ding mengaku menyesal selepas mendapat amaran tegas daripada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:15 PM