FOTO Hiasan.
Agensi

SEOUL: Seorang pelajar kolej dituduh sengaja menggemukkan badan dengan makan ayam goreng bagi mengelak memasuki khidmat ketenteraan.

Ketika menjalani pemeriksaan fizikal pada Ogos 2016, lelaki berusia 22 tahun itu seberat 106 kilogram dengan ketinggian 169.5 sentimeter manakala Indeks Jisim Badan (BMI) adalah 36.8.

Menurut Korea Herald, individu yang melebihi BMI 33 boleh dikecualikan daripada khidmat ketenteraan sepenuh masa dan bekerja sebagai pegawai kerajaan.

Pendakwa menuduh pelajar terbabit melanggar undang-undang dan dalam hujah mendakwa berat badannya naik disebabkan minum alkohol dan makan ayam sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan.

Lelaki itu turut didakwa membongkokkan badannya ketika mengukur ketinggiannya.

Bagaimanapun, hakim mendapati pelajar berkenaan obes sejak berusia 10 tahun dan sukar menentukan dia sengaja menaikkan berat badan untuk mengelak khidmat ketenteraan.

Selain itu, dia juga seberat 102 kilogram sejak di sekolah menengah rendah lagi.

Hakim turut mengatakan tiada bukti pelajar berkenaan mengambil ubat atau makanan tambahan bagi menaikkan berat badan dengan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:12 PM