GAMBAR hiasan.
Reuters

MANILA: Pihak berkuasa Filipina hari ini mengesahkan ketua kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan Daish antara empat militan yang terbunuh ketika bertempur dengan tentera pada bulan lalu.

Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana mengesahkan kematian Abu Dar berdasarkan ujian DNA.

“Satu mayat disahkan Abu Dar,” katanya.

Pihak berkuasa Filipina percaya Abu Dar adalah ketua kumpulan Dawla Islamiya yang dianggotai militan termasuk warga asing yang menyokong Daish di selatan negara itu.

Empat militan berkenaan terbunuh dalam pertempuran di wilayah Lanao del Sur pada Mac lalu.

Dawla Islamiya menawan bandar Marawi selama lima bulan pada 2017 sebelum beberapa pemimpinnya dilaporkan dalam serangan tentera Filipina.

Antara yang terbunuh dalam serangan itu adalah Isnilon Hapilon yang diisytiharkan Daish sebagai ketua negara Islam Asia Tenggara.

Dalam satu video yang ditemui tentera, Abu Dar dilihat duduk di sebelah Hapilon dan dia berjaya melarikan diri sebelum tentera kerajaan berjaya menawan semula Marawi.

“Kami tahu sekarang kumpulan ini tiada pemimpin. Kami akan memantau siapa yang akan menggantikan Abu Dar,” jelas Lorenzana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 9:14 PM