ASSANGE ditahan polis di kedutaan Ecuador.
AFP

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange ditahan polis di kedutaan Ecuador, hari ini selepas kerajaan negara itu menarik balik suaka yang diberikan kepadanya.

Assange melarikan diri ke kedutaan Ecuador di London dan menetap di sana sejak 2012 selepas dituduh melakukan serangan seksual di Sweden.

Tuduhan itu sudah pun digugurkan, lapor AFP.

Rakaman video dari agensi berita Ruptly memperlihatkan beberapa lelaki membawa turun Assange yang berjambang putih dari bangunan kedutaan ke dalam sebuah van polis.

Setiausaha Dalam Negeri British, Sajid Javid mengesahkan tangkapan Assange di Twitter dan berkata lelaki itu akan berdepan hukuman di United Kingdom.

“Tiada sesiapa dikecualikan daripada undang-undang,” tulisnya.

WikiLeaks menuduh Ecuador melanggar undang-undang antarabangsa dengan menarik kembali suaka Assange.

Laman web terbabit mendakwa duta Ecuador di London membenarkan polis ke dalam kedutaan untuk menahan warga Australia itu.

Assange, 47, berdepan dakwaan melanggar syarat jaminannya di Britian pada 2012 kerana enggan meninggalkan kedutaan Ecuador.

Dia khuatir akan diekstradisi ke Amerika Syarikat selepas WikiLeaks menerbitkan fail yang digodam dari Jabatan Negara dan Pentagon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:36 PM