JAMAL Khashoggi.
AFP

DUBAI: Keluarga wartawan yang mati dibunuh, Jamal Khashoggi menafikan terbabit dalam rundingan dengan kerajaan Arab Saudi untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah susulan laporan anak mangsa menerima bayaran berjumlah jutaan dolar.

“Ketika ini perbicaraan bakal berlangsung dan tiada perbincangan penyelesaian diadakan,” kata Salah Khashoggi dalam akaun Twitter miliknya.

Akhbar The Washington Post pada 1 April lalu melaporkan anak Jamal termasuk Salah menerima rumah bernilai jutaan dolar dan bayaran bulanan oleh kerajaan Arab Saudi.

Jamal yang juga penulis di The Washington Post dan pengkritik Arab Saudi dibunuh pada Oktober lalu di konsulat negara itu di Istanbul oleh 15 ejen Arab Saudi.

Mayatnya sehingga kini tidak ditemui.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dituduh mengarahkan pembunuhan itu tetapi siasatan yang dijalankan oleh negara itu mendapati putera itu tidak terbabit.

Pendakwa raya Arab Saudi mendakwa 11 individu yang disyaki terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 9:30 PM