DEREK dirakam memegang anak ayam yang sudah mati. Gambar kanan: Semasa menerima anugerah istimewa di sekolahnya. FOTO Daily Mail
Agensi

NEW DELHI: Seorang kanak-kanak enam tahun menjadi sensasi di internet selepas gambarnya yang membawa seekor anak ayam ke hospital kerana tidak sengaja terlanggar haiwan itu dengan basikal, menjadi tular baru-baru ini.

Daily Mail melaporkan, Derek C Lalchhanhima yang berasal dari Sairang, Mizoram, India dirakam sambil memegang anak ayam yang sudah mati bersama wang 10 rupee (60 sen) sambil merayu kakitangan hospital menyelamatkan haiwan terbabit.

Rakan keluarganya berkata, kanak-kanak itu tidak faham haiwan terbabit sudah mati akibat dilanggar dan sempat merayu kepada ibu bapanya untuk dibawa ke hospital.

Dia yang akhirnya ke hospital secara bersendirian, mencuri perhatian jururawat sebelum merakam dan memuat naik gambarnya hingga dikongsi beribu kali di media sosial.

Kanak-kanak itu turut diberi anugerah istimewa di sekolahnya atas sifat belas kasihan yang ditunjukkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 10:39 PM