SEBUAH kapal tangki yang dirampas pendatang di Laut Mediterranean. -Foto dailymail.co.uk
Agensi

VALLETTA: Pasukan khas Malta menawan semula sebuah kapal tangki yang dirampas pendatang di Laut Mediterranean selepas kaptennya berhenti untuk menyelamatkan mereka, Selasa lalu.

Anggota bersenjata menyerahkan semula kawalan kapal itu kepada kaptennya yang mengemudinya ke Pelabuhan Besar Malta di ibu negara, Valletta, bersama pendatang terbabit dan anak kapal.

Sebaik tiba di darat, pendatang berkenaan diiring turun pengawal bersenjata sebelum diserahkan kepada polis yang menunggu dengan beberapa van serta sebuah bas. Empat pendatang berkenaan digari.

Pegawai berkata, siasatan sudah dilancarkan, namun tidak jelas sama ada pendatang berkenaan akan didakwa kerana merampas kapal itu, atau dibawa ke pusat penahanan untuk memohon suaka, lapor Daily Mail.

Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini sebelum itu berkata, kapal El Hiblu 1 menghala ke Libya selepas menyelamatkan pendatang berkenaan, namun dirampas dan dibawa ke Eropah.


ANGGOTA bersenjata menawan semula kapal itu ke Pelabuhan Besar Malta di ibu negara, Valletta.

Kapal berkenaan dalam perjalanan ke Tripoli dari Turki ketika kejadian Selasa lalu, sebelum beralih haluan ke utara untuk menyelamatkan 108 pendatang berkenaan - termasuk wanita dan kanak-kanak - di persisiran Libya, lapor AFP

Agensi berita Itali, ANSA melaporkan pendatang berkenaan menyedari kapal itu menghala pulang ke Tripoli seterusnya mengancam kapten dan krewnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 9:38 PM