DUA terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah dua pemandu di Seattle. FOTO Agensi
Reuters

SEATTLE: Dua terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah dua pemandu serta sebuah bas di sini, tengahari semalam.

Polis menerusi satu kenyataan berkata, penyerang itu kemudian terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri menggunakan kereta dicuri dalam kejadian yang berlaku pada waktu puncak.

Reuters melaporkan, kejadian berlaku di timur laut Seattle apabila suspek mendekati seorang pemandu wanita di sebuah persimpangan jalan lalu menembak mangsa sebelum melepaskan tembakan ke arah sebuah bas.

Biarpun terkena tembakan, pemandu bas berjaya memusingkan kenderaan itu dan melarikan diri dari penyerang terbabit.

Kata polis, suspek kemudian menembak mati seorang pemandu kereta Toyota Prius dan melarikan diri menggunakan kenderaan mangsa sebaik polis tiba di tempat kejadian.

Bagaimanapun, suspek bertembung dengan sebuah kenderaan berhampiran menyebabkan pemandunya maut.

Polis berjaya menahan suspek dan setakat ini, maklumat lanjut mengenai kejadian terbabit masih belum diketahui lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 12:26 PM