BANGKAI tikus disumbat dengan dadah sebelum dicampak ke dalam penjara. FOTO Agensi
Agensi

London: Pelbagai taktik digunakan kumpulan penjenayah untuk menyeludup dadah ke dalam penjara dan terbaru pihak berkuasa mengesan cubaan menyeludup bahan terlarang yang disumbat ke dalam bangkai tikus.

Mirror Online melaporkan, taktik terbaru itu terbongkar selepas pegawai penjara Guys Marsh di Dorset menemui tiga bangkai tikus yang mempunyai kesan jahitan di perut berhampiran kawasan pagar selepas ia dicampak masuk oleh penjenayah terbabit.

Sebaik jahitan itu dibuka, pegawai terbabit menemui lima telefon bimbit bersama alat pengecas, tiga kad SIM, kertas pembalut rokok serta dadah.


DADAH dan telefon bimbit yang ditemui dalam tiga bangkai tikus yang cuba diseludup ke dalam penjara. FOTO Agensi

“Ini menunjukkan penjenayah semakin kreatif mencari cara terbaru untuk menyeludup masuk barangan terlarang ke dalam penjara. Sebab itu, tahap keselamatan perlu ditingkatkan.

“Dadah dan telefon bimbit yang berjaya dibawa masuk ke dalam penjara akan memberi risiko kepada banduan, pegawai penjara dan orang awam,” kata Menteri Penjara, Rory Stewart.

Kementerian Keadilan memberitahu, maklumat risikan mendapati bangkai tikus itu dicampak anggota kumpulan penjenayah terancang yang mempunyai kaitan dengan banduan.

Menurutnya, ia adalah kes pertama cubaan menyeludup dengan bangkai tikus yang direkodkan pada bulan ini.

Sebelum ini, penjenayah dikatakan menggunakan bola tenis dan burung merpati untuk menyeludup dadah ke dalam penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:00 AM