SEBUAH rumah di kampung Mishmeret, utara Tel Aviv yang musnah selepas terkena serangan roket yang dilancarkan dari Gaza. FOTO AFP
Reuters

MISHMERET (ISRAEL): Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memendekkan lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) dan mengarahkan tentera tambahan dikerahkan ke sempadan Gaza selepas satu serangan roket dari wilayah Palestin itu jatuh berhampiran Tel Aviv dan menyebabkan tujuh orang cedera kelmarin.

Roket itu mengenai sebuah rumah di Mishmeret yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Gaza, sekali gus menjadi sasaran paling jauh yang dicapai oleh pejuang Palestin di wilayah yang dikepung berkenaan.

Netanyahu yang tiba di Washington kelmarin untuk lawatan empat hari berkata, dia akan pulang segera selepas bertemu Presiden Donald Trump semalam.

“Ini adalah satu serangan terhadap Israel dan kami akan membalasnya dengan tegas,” katanya.

Tentera Israel menuduh pergerakan Hamas melancarkan roket itu dari Gaza yang memusnahkan sebuah rumah di Mishmeret, sebuah kampung di utara Tel Aviv.

Roket itu dilancarkan pada jarak kira-kira 120 kilometer sekali gus menjadi serangan paling jauh dari Gaza yang menyebabkan kecederaan sejak perang 2014.

Jurucakap tentera Israel, Ronen Manelis berkata, dua briged askar dihantar ke sempadan Gaza dan anggota simpanan juga dikerahkan ke kawasan itu.

“Kami bersedia hadapi pelbagai senario,” katanya.

Serangan roket itu meningkatkan lagi ketegangan di Gaza selepas tentera udara Israel membedil beberapa lokasi di wilayah itu baru-baru ini.

Penduduk Palestin di Gaza juga dilaporkan bersedia dengan tindak balas Israel yang menutup pintu sempadannya dan pemimpin Hamas turut membatalkan aktiviti di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:46 AM