ALAIN mendaki bangunan Engie di daerah perniagaan La Defense di luar Paris. -Foto AFP
Reuters

PARIS: Pemanjat digelar ‘Spiderman Perancis’, Alain Robert memanjat sebuah pencakar langit di sini, Jumaat lalu tanpa menggunakan peralatan keselamatan bagi mengutip derma untuk membiayai pengubahsuaian gereja besar Notre-Dame.

Paparan imej di televisyen menunjukkan pemanjat bebas berusia 56 tahun itu memanjat menara ibu pejabat Engie setinggi 185 meter di La Defense.

Bagaimanapun, Robert ditahan polis sejurus selesai memanjat menara itu.

Robert memberitahu Reuters, beberapa penaja turut menyumbang cek sebanyak 5,000 euro (RM23,016) untuk pengubahsuaian gereja berkenaan.

“Tabung kerajaan sudah kosong dan gereja itu mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Ketua Biskop Paris juga berusaha mengumpul dana sebanyak 100 juta euro bagi menyelamatkan Notre-Dame dari menyembah bumi.

Robert sudah memanjat lebih 100 bangunan tinggi antaranya Jambatan Golden Gate di San Francisco, Burj Khalifa di Dubai, serta menara Engie pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 10:09 PM