PALANG Pracharat. FOTO EPA
Reuters

BANGKOK: Parti pro-tentera yang mendahului undian dalam pilihan raya pertama Thailand sejak rampasan kuasa pada 2014, memberi bayangan sama ada ketua junta, Prayuth Chan-oca mampu menang banyak kerusi untuk mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) melaporkan, parti Palang Pracharat mendapat 7.64 juta undian daripada 93 peratus undian yang dikira berbanding 7.16 juta undi yang diperoleh parti Pheu Thai yang setia kepada bekas pemimpin, Thaksin Shinawatra, lapor Reuters.

EC dijangka membuat pengumuman keputusan tidak rasmi pada tengah hari ini selepas menangguhkannya semalam.

Ketua Palang Pracharat, Uttama Savayanana, kelihatan selesa dan yakin walaupun keputusan masih belum diumumkan.

“Kami gembira. Walaupun begitu, kita belum sampai ke peringkat perbincangan dengan parti lain untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Pengerusi EC berkata, peratusan mereka yang keluar mengundi adalah sebanyak 66 peratus berdasarkan 90 peratus undian yang sudah dikira.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 11:25 AM