PENUMPANG sebuah kapal persiaran mewah diselamatkan menggunakan helikopter selepas kapal itu mengalami kerosakan enjin semalam.
Reuters

OSLO: Penumpang sebuah kapal persiaran mewah diselamatkan menggunakan helikopter selepas kapal itu mengalami kerosakan enjin semalam ketika cuaca buruk di pantai barat Norway.

Perkhidmatan penyelamat maritim berkata, kapal persiaran Viking Sky, dengan 1,373 penumpang dan kru, menghantar isyarat kecemasan ketika ia hanyut ke arah daratan di Laut Norway.

Kapal itu membawa 915 penumpang, sebahagian besar adalah dari Amerika Syarikat dan Britain, kata penyelamat, walaupun ia enggan memberi butiran lanjut.

Kru berjaya menghidupkan semula satu daripada empat enjin sebelum kapal itu berlabuh kira-kira dua kilometer dari pantai dan penumpang dianggap selamat walaupun proses pemindahan berlanjutan sepanjang malam.

Menjelang malam, semua penumpang berjaya diselamatkan, kata jurucakap perkhidmatan menyelamat, Per Fjeld.

Laut bergelombang kuat dan lapan yang diselamatkan mengalami kecederaan, dengan tiga daripadanya dianggap teruk, lapor stesen penyiar NRK, memetik sumber tidak dinamakan.

Imej dan filem yang disiarkan penumpang di media sosial menunjukkan perabot meluncur apabila kapal itu mula hanyut dan dihempas ombak setinggi lapan meter.

“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kebajikan penumpang dan kru, dan dalam kerjasama dengan Pengawal Pantai Norway, kapten memutuskan memindahkan semua penumpang dengan helikopter,” kata Viking Cruises dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 1:44 PM