ORANG utan yang diberi dadah oleh pelancong terbabit yang ingin membawanya pulang ke Rusia untuk dijadikan haiwan peliharaan. FOTO AFP
AFP

Denpasar, Indonesia: Polis menahan seorang pelancong Rusia dari menyeludup keluar seekor orang utan berusia dua tahun yang disembunyikan dalam bagasi di Bali, semalam.

Menurut AFP, orang utan itu diberi dadah dan pelancong terbabit mahu membawanya pulang ke Rusia untuk dipelihara.

Polis berkata, Andrei Zhestkov ditahan di Lapangan Terbang Denpasar ketika melalui pemeriksaan keselamatan dan pegawai yang membuka bagasinya menemui seekor orang utan jantan tidur dalam bakul rotan.

Ketua Pejabat Agensi Pemuliharaan Bali, I Ketut Catur Marbawa berkata, orang utan itu diberi pil alahan yang menyebabkannya tidur dan ubat terbabit turut ditemui dalam bagasi.

Katanya, Zhestkov, 27, membawa susu bayi dan selimut untuk haiwan itu, malah polis turut menemui dua gecko serta lima cicak hidup dalam bagasi berkenaan.

Zhestkov mendakwa haiwan dilindungi itu dihadiahkan seorang rakan dari Rusia yang membeli orang utan terbabit di sebuah pasar di Jawa pada harga AS$3,000 (RM12,193).

Lelaki itu memberitahu rakannya yang sudah meninggalkan Indonesia meyakinkan dia boleh membawa pulang haiwan berkenaan.

Marbawa berkata, Zhestkov boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda AS$7,000 (RM28,451) atas kesalahan penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 1:44 PM