KAPAL kontena Itali, MV Grande America yang membawa muatan 2,000 kereta termasuk tiga dozen Porsche terbakar di Lautan Atlantik. Gambar kecil: Porsche 911 GT2 RS. FOTO Daily Mail
Agensi

Paris: Kira-kira 2,000 kereta termasuk tiga dozen Porsche berharga sehingga AS$293,200 (hampir RM1.2 juta) setiap satu musnah selepas kapal kontena Itali, MV Grande America terbakar di Lautan Atlantik dekat pantai Perancis, kelmarin.

Selain model Porsche 911 GT2 RS, beberapa model lain, termasuk 718 Cayman, Boxter dan Cayenne serta kereta jenama Audi termasuk model Audi A3, A5, RS4, RS5, dan Q7 turut musnah.

Daily Mail melaporkan, pembuat kereta Porsche di Jerman mengesahkan kapal dagang itu membawa empat model RS 911 GT2 yang setiap satu berharga RM1.2 juta untuk pelanggan di Brazil.

Pengeluaran bagi model khas itu sudah dihentikan Februari lalu.

Dalam kenyataannya, pengeluar Porsche berpangkalan di Stuttgart, Jerman, memohon maaf kepada pelanggannya di Brazil.

Kesemua 27 anak kapal Grande America berjaya diselamatkan oleh kapal tentera laut Britain, HMS Argyll, manakala pihak berkuasa Perancis giat membersihkan tumpahan minyak.

HMS Argyll mengambil masa lapan jam untuk sampai ke lokasi dan menyelamatkan kru kapal dagang itu di Teluk Biscay.

Pemerintah HMS Argyll, Leftenan Dave Tetchner berkata, 27 kru yang diselamatkan itu dibawa ke Pelabuhan Brest, Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:19 PM