NEW Zealand akan bertafakur selama dua minit pada Jumaat ini bagi memperingati pemergian mangsa yang terkorban dalam insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, minggu lalu. AFP
Agensi

CHRISTCHURCH: New Zealand akan bertafakur selama dua minit pada Jumaat ini bagi memperingati pemergian mangsa yang terkorban dalam insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, minggu lalu.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern membuat pengumuman itu ketika lawatannya ke bandar berkenaan hari ini, lapor NZHerald.

Manakala stesen penyiar tempatan, Radio NZ dan TVNZ juga akan memberi penghormatan dengan menyiarkan laungan azan.

Hari ini, jenazah dua beranak yang juga pelarian dari Syria, selamat disemadikan dalam majlis pengebumian pertama mangsa insiden serangan itu.

Ardern berkata, mangsa terbabit sepatutnya berasa selamat selepas berhijrah ke New Zealand.

“Tidak dapat digambarkan betapa sedihnya perasaan saya apabila keluarga ini datang ke New Zealand untuk berlindung dan mereka sepatutnya selamat di sini,” katanya.

Dia turut mengesahkan bahawa 30 daripada 50 jenazah kini sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 1:04 PM