WINSTON Peters. FOTO Agensi
AFP

WELLINGTON: Kabinet New Zealand ‘secara prinsipnya’ bersedia untuk memperketatkan undang-undang terhadap kawalan senjata api, beberapa hari selepas insiden keganasan di dua masjid yang mengorbankan 50 orang.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, sudah masa untuk kerajaan bertindak dan perinciannya akan dimaklumkan sebelum mesyuarat kabinet pada Isnin depan.

“Kita sudah membuat keputusan sebagai sebuah kabinet dan kami bersatu,” katanya yang disokong oleh rakan pakatan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Winston Peters.

Peters dari parti New Zealand First yang sebelum ini membantah sebarang perubahan berkata, dia menyokong Ardern sepenuhnya.

“Secara realitinya, selepas jam 1 petang pada Jumaat lalu, dunia selamanya berubah dan begitu juga dengan undang-undang kami,” katanya.

Ardern turut mengumumkan satu inkuiri akan dibuat susulan serangan itu yang menimbulkan persoalan bagaimana kehadiran pengganas itu boleh terlepas dari radar agensi perisikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 2:09 PM