NAEEM Rashid yang mati syahid ketika cuba mengatasi pengganas kulit putih. FOTO Naeem/Facebook
AFP

Islamabad: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, berkata mangsa pengganas Christchurch yang berasal dari Pakistan akan menerima anugerah di negara itu demi keberanian mereka.

Kenyataan itu dibuat sewaktu Kementerian Luar Pakistan mengesahkan sembilan rakyatnya terbunuh dalam serangan ke atas dua masjid di New Zealand.

Video serangan itu memaparkan seorang lelaki mati ditembak ketika dia menghampiri penembak, sementara jemaah lain melarikan diri.

Lelaki itu dipercayai sebagai Naeem Rashid, walaupun wajahnya kabur dalam rakaman itu dan masih belum dikenal pasti secara rasmi.

“Pakistan berbangga dengan Mian Naeem Rashid yang mati syahid ketika cuba mengatasi pengganas kulit putih dan keberaniannya akan diiktiraf dengan anugerah kebangsaan,” kata Khan.

Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi berkata anugerah berkenaan akan diberikan pada 23 Mac sempena sambutan Hari Pakistan.

Beliau mengesahkan sembilan rakyat Pakistan terbunuh manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal, katanya kepada pemberita di Islamabad.

“Waris kepada enam mangsa memutuskan untuk mengebumikan mereka di Christchurch, selebihnya mahu membawa jenazah pulang ke Pakistan.

“Apa pun keputusan keluarga berkenaan, kami akan menghormati dan memenuhi kehendak mereka,” katanya sambil menambah bendera akan diturunkan separuh tiang di Pakistan pada esok hari sebagai menghormati mangsa korban.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:45 PM