GAMBAR HIASAN
Reuters

MANILA: Tentera Filipina yakin berjaya menghapuskan satu kumpulan militan yang pro-Daish selepas ketua utama kumpulan itu dipercayai terbunuh dalam pertempuran minggu lalu.

Ujian forensik dijalankan untuk mengenal pasti sama ada seorang daripada empat pemberontak yang terbunuh Khamis lalu adalah Abu Dar yang mengetuai Dawlah Islamiyah yang pro-Daish.

Abu Dar yang dianggap ‘Emir’ militan Daish di Asia Tenggara, menarik militan negara asing dan Filipina menubuhkan kumpulan bersenjata meneruskan perjuangan Daish di Mindanao.

Empat tentera turut terbunuh ketika pertempuran di wilayah Lanao del Sur itu.

Pemerintah wilayah tentera di Mindanao, Kolonel Romeo Brawner berkata, Dawlah Islamiyah kini tidak berfungsi dengan kematian Abu Dar.

Pada 2017, Dawlah Islamiyah menduduki selatan bandar Marawi selama lima bulan sebelum pemimpin utamanya terbunuh dalam serangan udara dan pertempuran jalanan, termasuk Isnilon Hapilon. Abu Dar dilihat berada di sisi Hapilon dalam satu rakaman video.

Selepas kematian Hapilon, Abu Dar menggantikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 9:44 PM