ANTARA rakaman kejadian dalam masjid. -Foto Agensi
AFP

SAN FRANCISCO: Platform media sosial Facebook hari ini berkata pihaknya sudah membuang kandungan video secara langsung insiden tembakan rambang seorang lelaki bersenjata ke atas dua masjid yang mengorbankan 49 orang di New Zealand.

Suspek ditangkap berusia 28 tahun, menerbitkan manifesto bersifat rasis di Twitter sebelum menyiarkan secara langsung video amukannya yang menunjukkannya berulang kali menembak jemaah dari jarak dekat.

“Polis memberi peringatan kepada kami mengenai sebuah video di Facebook sejurus siaran langsung bermula dan kami bertindak pantas membuang kedua-dua akaun Facebook dan Instagram penembak dan video itu.

“Kami turut membuang sebarang komen berbaur pujian atau sokongan terhadap aktiviti jenayah itu dan penembak sejurus menyedarinya,” kata Facebook.

Video Facebook disiarkan secara langsung, dirakam menerusi kamera yang dipasang pada tubuh lelaki bersenjata itu, menunjukkan seorang lelaki Caucasian putih berambut pendek memandu ke masjid al Noor di tengah Christchurch.

Dia memasuki bangunan dan melepaskan tembakan rambang berkali-kali pada jemaah di dalamnya.

AFP mengenal pasti rakaman video itu adalah tulen selepas melakukan siasatan digital termasuklah memadankan skrin masjid dari rakaman penembak itu dengan imej dalam talian yang menunjukkan kawasan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:40 PM