JONG-hoon dan Jun-hyung umumkan pengunduran semalam. -Foto Agensi
AFP

SEOUL: Isu skandal seks membabitkan artis K-pop terus menggegarkan industri apabila dua lagi artis mengumumkan pengunduran semalam, selepas mengaku menonton video rakaman seks yang dihantar rakan artisnya.

AFP melaporkan, anggota kumpulan Highlight, Yong Jun-hyung, 29 yang sebelum ini dikenali sebagai Beast, berundur selepas dia mengaku menonton video seks membabitkan penyanyi, Jung Joon-young yang dirakam secara rahsia.

Beberapa jam kemudian, pengurus kepada anggota kumpulan FT Island, Choi Jong-hoon, 29, pula membuat pengumuman sama selepas artis itu memberitahu dia akan disoal siasat polis kerana disyaki terbabit dalam skandal seks itu.

Sebuah agensi yang mewakili Jun-hyung, Around Us Entertainment berkata, artis terbabit menonton rakaman itu dan melakukan perbualan ‘tidak sesuai’ mengenainya dengan Joon-young.

Jun-hyung yang juga penerbit muzik dan pelakon, sebelum ini menafikan sebarang dakwaan yang dia terbabit dengan skandal seks artis K-pop yang berterusan itu.

Kelmarin, Joon-young disoal siasat polis selepas mengaku dia berkongsi rakaman itu dengan lelaki lain termasuk Seungri yang turut terpalit dengan siasatan skandal seks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:56 PM