POLIS Indonesia menyerbu rumah Katimun. FOTO Kompas.com
Agensi

JAKARTA: Khabar angin kedatangan hari kiamat mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di sebuah kawasan di Jawa Timur hingga ada yang berpindah ke tempat lain semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada ditimpa bencana.

Tribun News melaporkan, 52 penduduk di Kabupaten Ponorogo itu terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan menerusi satu akaun Facebook sebelum berpindah secara beramai-ramai ke Malang.

Penduduk turut dipengaruhi seorang individu, Katimun memberi amaran hari kiamat itu selepas pulang menuntut ilmu agama selain meminta penduduk membeli pedang berharga 1 juta rupiah (RM286) sebagai persediaan dan untuk mempertahankan diri.

Kompas yang memetik seorang penduduk, Bupati Ponorogo Ipong Muchlissoni berkata, mereka berpindah sejak sebulan lalu kerana bimbang dilanda kiamat.

“Ya betul perkara itu, namun mereka berpindah sejak sebulan lalu. Dua bulan lalu, seorang individu bernama Katimun baru pulang dari menuntut ilmu dan dia mempengaruhi penduduk dengan menyebarkan khabar angin itu dari rumah ke rumah.

“Dia memberitahu bahawa hari kiamat sudah semakin dekat dan perlu mengikut ajaran dibawanya supaya terlepas daripada hari kiamat. Dia turut menjual barangan kepada kami sebagai bekalan di akhirat atau dibawa ke pondok,” katanya.



RUMAH ibadat warga Ponorogo digunakan Katimun untuk pengajian dan menyebarkan ajaran aneh dan isu kiamat. FOTO Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:56 PM