GUJARAT adalah satu-satunya negeri di India yang melaksanakan pengharaman permainan video popular, PUBG.
AFP

AHMEDABAD: Sepuluh penuntut universiti ditahan polis di barat Gujarat, India, semalam kerana bermain permainan video popular, PUBG, selepas pihak berkuasa mengharamkan permainan itu minggu lalu.

Gujarat adalah satu-satunya negeri di India yang melaksanakan pengharaman itu selepas permainan berkenaan dimuat naik oleh lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia, lapor AFP.

Bagaimanapun, jurucakap polis, V.S Vanzara berkata, semua yang ditahan itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin pada hari sama.

Permainan itu mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa di negara terbabit kerana ia dilihat lebih banyak mendatangkan pengaruh buruk termasuk unsur ganas selain boleh mengganggu tumpuan terhadap pelajaran.

Sebelum ini, seorang wanita turut mengadukan masalah itu kepada Perdana Menteri, Narendra Modi yang bimbang dengan ketagihan anaknya terhadap permainan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:02 PM