100 kanak-kanak dikhuatiri terperangkap. -Foto Agensi
Agensi

LAGOS: Gabenor Lagos mengesahkan ada kematian dalam kejadian bangunan yang turut menempatkan sekolah rendah runtuh di sini, hari ini.

AL Jazeera melaporkan, Akinwunmi Ambode bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah mangsa yang terbunuh namun kira-kira 100 kanak-kanak dikhuatiri terperangkap.

“Kami sudah mengeluarkan kira-kira 25 mangsa, sebahagiannya sudah meninggal dunia,” katanya.

Reuters melaporkan, wartawannya yang berada di lokasi kejadian menyaksikan murid lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun ditarik keluar dari bawah runtuhan.

Orang ramai yang memenuhi kawasan runtuhan turut bersorak gembira selepas seorang lagi kanak-kanak diselamatkan dari bawah runtuhan.

Kedua-dua kanak-kanak itu antara lapan mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian itu.

Ketika anggota penyelamat bertungkus-lumus membersihkan kawasan runtuhan daripada serpihan, ribuan penduduk memenuhi lokasi itu, termasuk memerhati dari bumbung dan jalan di sekitarnya.

“Kami percaya masih ramai mangsa, termasuk kanak-kanak yang terperangkap di dalam bangunan ini,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan wilayah barat daya, Ibrahmi Farinloye.

Menurut penduduk di kawasan terbabit, kira-kira 100 murid belajar di sekolah berkenaan, yang berada di aras tiga bangunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 11:59 PM