LORCAN masih di rawat di unit penjagaan rapi. FOTO Agensi
Agensi

SINGAPURA: Sepasang suami isteri warga British meminta belas kasihan orang ramai untuk memberi sumbangan membiayai kos rawatan anak yang dilahirkan pramatang sebanyak £140,000(RM753,732) menerusi laman web GoFundMe.

Straits Times melaporkan, setakat ini Patraic Walsh-Kavanagh, 27, dan isterinya Chloe Wilkinson, 30, sudah mengumpul sebanyak £50,000(RM269,190).

Pasangan itu transit di Singapura selama dua hari dari Australia dan sepatutnya meneruskan perjalanan ke United Kingdom untuk menyampaikan berita kehamilan Chloe kepada keluarga.

Bagaimanapun, pada 19 Februari lalu, Chloe yang ketika itu hamil 24 minggu dimasukkan ke Hospital Besar Singapura kerana mengalami pendarahan dan perut kejang.

Pada 26 Februari lalu, Chloe melahirkan bayi lelaki diberi nama Lorcan yang seberat 0.86 kilogram.

Atas nasihat doktor, pasangan berkenaan perlu tinggal di Singapura selama tiga bulan sehingga anak mereka sihat sepenuhnya untuk pulang ke United Kingdom.

BBC melaporkan, pasangan terbabit yang bekerja di Victoria, Australia selepas melancong di Asia pada Disember 2017 terpaksa menanggung bil rawatan hospital kerana insurans mereka tidak merangkumi wanita mengandung.

Sementara itu, Walsh-Kavanagh memberitahu BBC dia dan isteri terpaksa pulang ke United Kingdom tanpa anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:04 PM