GAMBAR hiasan
AFP

MONTREAL: Sekumpulan wanita di Kanada mendakwa menghisap ganja menjadikan mereka ibu yang lebih baik kerana menjadikan mereka lebih tenang dan sabar melayan kerenah anak-anak di rumah.

Kumpulan itu yang berkongsi kisah mereka di laman Facebook, Des fleurs ma chere kini cuba melawan stigma mengenai ganja dalam kehidupan ibu bapa sejak Ottawa menghalalkan penggunaan ganja untuk rekreasi pada tahun lalu.

“Orang ramai tidak mendapat maklumat. Mereka fikir apabila menghisap ganja, kami akan duduk di depan televisyen sambil memakan piza seperti remaja.

“Apabila saya mengambil ganja, saya membuat kerja rumah dan bermain dengan anak-anak. Saya kini lebih sabar dengan anak-anak. Ia menjadikan saya ibu yang lebih baik, insan yang lebih baik,” kata Karine Cyr yang mengasaskan kumpulan di Facebook itu.

Ujarnya, ganja jauh lebih baik berbanding ubat antikemurungan untuk merawat tekanan perasaan yang sering dihadapi oleh ibu muda atau ibu tunggal.

Kumpulan itu mempunyai beratus-ratus pengikut yang terdiri daripada ahli perniagaan, pakar psikologi, jurugambar dan model.

Satu lagi kumpulan serupa di Facebook yang dikenali sebagai Mother Mary pula mempunyai kira-kira 5,000 pengikut.

Bagaimanapun, kementerian kesihatan Kanada memberi amaran kepada ibu bapa mengenai pengambilan ganja terutamanya risiko asap rokok berkenaan kepada anak mereka.

Tambahnya, pengambilan ganja juga boleh mengurangkan kemampuan seseorang untuk memberi perhatian terutama kepada anak mereka dan membuat keputusan atau bertindak ketika kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 3:52 PM