LABAH-LABAH buat sawang dalam telinga warga emas itu. FOTO Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang warga emas tidak menyangka bunyi gendang dalam telinganya ketika tidur rupanya labah-labah kecil yang masuk ke situ malah sempat membuat sawang di dalamnya, lapor media.

The Mirror melaporkan, pakar telinga, hidung dan tekak Cui Shulin mengongsikan rakaman menunjukkan labah-labah sebesar kacang.

Lelaki berusia 60-an itu mendapat rawatan doktor selepas rasa terlalu tidak selesa dengan bunyi gendang di dalam telinganya ketika mahu tidur dan mengesyaki ada serangga dalam telinganya.

Hasil endoskop menunjukkan seekor labah-labah sudah bersarang jauh ke dalam telinga pesakit itu, malah sempat membuat sawang untuk melindungi dirinya.

Dr Cui berjaya mengeluarkan haiwan itu dengan menyembur air ke dalam saluran telinganya, manakala pesakit berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu.

Dr Cui berkata, dia sudah banyak kali melihat serangga kecil masuk ke dalam telinga orang, namun lazimnya membabitkan kumbang dan lipas. Namun, katanya, ini kali pertama dia melihat labah-labah, apatah lagi yang membuat sawang dalam telinga orang.

IMEJ sawang labah-labah berkenaan. FOTO AsiaWire

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 1:10 PM