PETIKAN video penjaja buah dari Kashmir dipukul pelampau Hindu di Lucknow, India. FOTO/AGENSI
Reuters

New Delhi: Pemimpin sebuah pertubuhan Hindu di India menganggap tindakan orang ramai memukul dua penjaja Islam dari Kashmir di Lucknow semalam, sebagai wajar kerana penduduk Islam dari Kashmir yang ‘mencurigakan’ perlu diawasi.

Penjaja buah yang diserang di Lucknow, utara India, itu ditampar serta dipukul dengan batang kayu dan rakaman video kejadian disiarkan di media sosial.

Rakaman video itu menunjukkan penjaja dari Kashmir terbabit terbaring di atas jalan ketika ditampar dan dipukul dengan kayu oleh dua lelaki.

Orang ramai masuk campur menghalang mereka daripada terus dipukul dan menurut polis, empat lelaki ditahan.

Penyerang adalah anggota kumpulan berhaluan kanan, Vishwa Hindu Dal (VHD), dan pemimpinnya enggan memohon maaf.

“Ya, pekerja saya memukul mereka. Selepas serangan terhadap tentera kami dengan bantuan pemberontak Kashmir, orang ramai jadi marah,” kata presiden kumpulan itu, Ambuj Nigam.

Menurutnya, dua penjaja itu kelihatan ‘mencurigakan’ dan ahli kumpulan itu meminta kad pengenalan mereka serta menghubungi polis.

“Polis lambat sampai. Kadang-kadang apabila polis lambat, kami perlu mengambil tindakan sendiri,” katanya yang mengarahkan 50,000 ahlinya di seluruh India ‘mengawasi’ penduduk dari Kashmir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 10:07 PM