GAMBAR hiasan
AFP

BANDAR GAZA: Remaja Palestin berusia 15 tahun dilaporkan mati akibat ditembak oleh tentera Israel dalam pertempuran terbaru di sempadan Gaza, lewat malam semalam.

Jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, remaja terbabit, Abu Zeid mati kerana mengalami cedera parah ketika ratusan penunjuk perasaan berhimpun di sempadan itu, lapor AFP.

Manakala jurucakap tentera Israel berkata, penunjuk perasaan melempar batu dan alat letupan ke arah pasukan keselamatan terbabit di sepanjang kawasan sempadan dan tentera membalas tindakan berkenaan berdasarkan ‘prosedur operasi standard’.

Selain itu, pesawat pejuang Israel turut menyerang di beberapa lokasi milik Hamas di selatan Gaza untuk membalas serangan bom dan pelancar yang diikat pada belon dan dihantar ke kawasan mereka.

Ia adalah serangan kelima dilancarkan Israel sejak Sabtu lalu untuk membalas serangan yang dihantar melintasi sempadan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:14 PM