KANAK-kanak di depan rumah yang musnah akibat hujan lebat. FOTO/AGENSI
Reuters

KABUL: Banjir kilat, hujan lebat dan salji mengorbankan sekurang-kurangnya 59 orang di seluruh Afghanistan, sejak dua minggu lalu, sementara ribuan penduduk lain kehilangan tempat tinggal.

Menurut pegawai Afghanistan, wilayah Helmand dan Kandahar, selatan negara itu paling teruk terjejas.

Badan Pengurusan Bencana Nasional Afghanistan (ANDMA) berkata, kira-kira 5,000 penduduk di Kandahar terpaksa berpindah, sementara agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurang-kurangnya 13,500 penduduk di wilayah itu terjejas akibat cuaca buruk.

Jurucakap ANDMA, Hashmat Khan Bahaduri berkata anggaran kerosakan dan kecederaan mungkin meningkat kerana beberapa wilayah masih dalam penilaian.

“Kami mempunyai laporan bahawa 59 orang terbunuh, 143 mangsa cedera dan masih ramai yang hilang,” kata Bahaduri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:55 PM