PENUMPANG pesawat Air China berjalan dalam cuaca sejuk menuju ke bangunan terminal. - Foto WEIBO
Agensi

CHUKOTKA, Rusia: Jeritan kru kabin bahawa pesawat akan meletup menyebabkan penumpang pesawat Boeing 777 Air China menjadi panik dan bergegas keluar selepas pesawat itu mendarat cemas di timur Russia, awal hari ini.

Seorang penumpang menyiarkan kejadian itu di internet dengan berkata: “Selepas kru kabim membuka pintu, dia menjerit: ‘Tinggalkan apa saja, keluar cepat. Pesawat akan meletup’.”

“Penumpang menjadi panik dan kabin dipenuhi jeritan manakala kru kabin berusaha menenangkan mereka.”

Menurut South China Morning Post, pesawat membawa 188 penumpang itu dalam penerbangan dari Beijing ke Los Angeles, Amerika Syarikat, membuat pendaratan cemas di lapangan terbang Anadyr, Chukotka, wilayah Artik Russia selepas sistem penggera menunjukkan kebakaran di bahagian bagasi.

Daily Mail yang memetik Siberian Times melaporkan, rakaman video menunjukkan penumpang berpusu-pusu melungsur keluar dari pesawat ke landasan ketika suhu 4 darjah selsius bawah paras beku

Menurut pihak berkuasa Russia, pesawat itu sedang diperiksa dan Air China menghantar pesawat gantian bagi menerbangkan penumpang ke destinasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:51 PM
Skip this ad x