PUTERI Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi calon perdana menteri Thailand. FOTO Agensi
Reuters

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand berkata ia akan mengeluarkan keputusan 7 Mac ini bagi mengharamkan sebuah parti pembangkang kerana mencalonkan seorang puteri raja sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya umum.

Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) memohon mahkamah membubarkan parti Thai Raksa Chart selepas ia mencalonkan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi sebagai perdana menteri dalam pilihan raya 24 Mac ini.

Walaupun Ubolratana melepaskan gelaran diraja pada 1972 apabila berkahwin dengan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS), cubaannya memasuki politik di pihak pembangkang mencetuskan kontroversi.

Beberapa jam selepas pengumuman itu, Raja Maha Vajiralongkorn berkata, cubaan kakak sulungnya itu ‘tidak wajar’ dan tidak mematuhi perlembagaan.

Pencalonan Ubolratana secara pantas disahkan batal oleh EC.

Pengharaman ke atas Thai Raksa Chart, satu daripada beberapa parti setia dengan bekas perdana menteri disingkir, Thaksin Shinawarta, akan menjadi penghalang terhadap peluang pembangkang dalam pilihan raya.

“Keputusan akan dikeluarkan 7 Mac ini jam 1.30 tengah hari dan ia akan dibaca kepada parti berkenaan pada hari sama jam 3 petang,” kata Mahkamah Perlembagaan dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 11:12 AM