PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan menjemput kerajaan India untuk berdialog berbanding memilih jalan kekerasan. FOTO REUTERS
Reuters

Islamabad/New Delhi: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyeru ketegangan yang semakin memuncak di Kashmir diredakan dan menjemput kerajaan India untuk berdialog berbanding memilih jalan kekerasan.

India dan Pakistan terbabit dalam pertempuran udara di sepanjang Garisan Kawalan Kashmir (LoC) buat kali pertama sejak 1971 semalam, dengan sebuah pesawat dari kedua-dua negara ditembak jatuh.

New Delhi mendakwa kehilangan juruterbangnya dan pesawat MiG-21 dalam tindakan itu manakala Islamabad pula kehilangan sebuah jet pejuang F-16, menurut sumber India.

Imran membuat ucapan itu selepas Pakistan menembak pesawat India yang merentasi LoC, sempadan de facto memisahkan Kashmir ditadbir kedua-dua negara. Seorang juruterbang India dilaporkan ditangkap.

Pakistan sebelum ini mendakwa ia menembak jatuh dua jet India tetapi New Delhi mendakwa hanya sebuah yang terhempas.

Imran berkata, kedua-dua pihak seharusnya tidak tersilap perhitungan terhadap senjata yang mereka miliki dan dia bersedia berbincang dengan jirannya India bagi mencari jalan menyelesaikan isu berbangkit termasuk keganasan.

“Marilah duduk bersama dan menyelesaikan masalah kita menerusi dialog,” kata Imran kepada kepimpinan India dalam ucapan di televisyen selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi Pusat Arahan Kebangsaan yang memantau senjata nuklear Pakistan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Hal Ehwal Luar India berkata, Pakistan memberi maklum balas terhadap ‘tindakan antikeganasan’ sah negara itu ke atas kumpulan Jaish-e-Mohammed, disyaki melakukan serangan ke atas konvoi tentera India minggu lalu dengan ‘menyasar pangkalan tentera di pihak India.’

Kenyataan menambah, tentera udara India (IAF) kehilangan sebuah jet pejuang MiG-21 dan juruterbangnya hilang.

Katanya, ia sedang mengesahkan dakwaan Pakistan juruterbang negara itu ditangkap dan dibawa merentasi sempadan.

Kementerian Luar Pakistan mengakui Islamabad menyerang kedudukan tentera India, namun mendakwa berbuat demikian untuk mempertahankan diri.

“Tujuan utama tindakan ini ialah menunjukkan hak kami, kemahuan dan keupayaan untuk pertahanan diri. Kami tidak berhasrat memuncakkan ketegangan namun bersedia jika terpaksa,” kata seorang jurucakap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 10:55 AM