KHIDMAT robot di taska makin popular di China. FOTO Daily Mail
Agensi

BEIJING: Masalah kekurangan guru tadika yang semakin meruncing di China menyebabkan negara itu beralih kepada robot untuk mengambil alih tugas mengajar.

Robot guru tadika pertama dikenali sebagai Bingo itu direka khas untuk mengajar pelbagai subjek termasuk Sains, Bahasa Inggeris serta mengajar bermain golf, lapor Daily Mail.

Ia direka oleh bapa dua anak berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains komputer dari Universiti Tsinghua Beijing, Ming Haibo yang menceburi bidang perniagaan dengan mencipta robot untuk mengajar kanak-kanak di rumah menerusi syarikatnya, Ai Bingo

Ming berkata, dia percaya robot mempunyai banyak kelebihan dalam membantu kanak-kanak mengulangkaji pelajaran dan menyemak kerja sekolah mereka.

Sehingga kini, robot Bingo sudah dibeli oleh kira-kira 1,500 pra-sekolah di bandar utama seperti Beijing, Tianjin, Zhenzhou dan Wuhan.

Menurut satu laporan China News sebelum ini, seramai 15 juta kanak-kanak dijangka mendaftar untuk kemasukan ke pra-sekolah setiap tahun menjelang 2021, dan ia sukar untuk ditangani oleh sistem pendidikan di sana.

China juga dijangka akan berdepan masalah kekurangan kira-kira tiga juta guru dan 110,000 pra-sekolah untuk tempoh dua tahun.


PEREKA Bingo bakal hasilkan versi terbaharu robot berkenaan. FOTO Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:58 PM