Lapangan terbang Istanbul yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 7 April. FOTO Agensi
Reuters

ISTANBUL: Lapangan terbang baru Istanbul yang dijangka menjadi lapangan paling sibuk dunia dijangka beroperasi sepenuhnya pada 7 April ini, lapor akhbar Hurriyet.

Lapangan terbang bernilai AS $12 bilion (RM48.8 bilion) itu sudah dibuka pada Oktober lalu seperti diumumkan Presiden Tayyip Erdogan namun hanya membabitkan beberapa penerbangan saja.

Reuters yang memetik akhbar itu berkata, pemindahan ke lapangan terbang baru dari Lapangan Terbang Ataturk akan bermula pada 5 April, jam 3 pagi dan berlanjutan hingga 45 jam.

Syarikat yang membina dan mengendalikan lapangan terbang itu, IGA berkata, sebarang pengumuman terbaru akan dimuat naik di laman sesawang.

Lapangan terbang baru itu berupaya menampung kehadiran 90 juta penumpang setahun dan boleh diperluaskan untuk menampung sehingga 200 juta orang, kata Erdogan dalam perasmiannya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 11:26 AM