IBU pantas bertindak menarik lengan baju kanak-kanak itu sebelum mencapai hudnya. -Foto Daily Mail
Agensi

HANOI: Satu rakaman menunjukkan detik mencemaskan apabila seorang ibu sempat menyelamatkan anak lelakinya daripada digilis lori selepas mereka terjatuh dari motosikal dinaiki.

Video diambil di Goi, Nam Dinh, Vietnam, itu menunjukkan tiga sekeluarga menunggang motosikal di atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta, lapor Daily Mail.

Wanita itu dan anaknya yang memakai kot merah jambu tercampak dari belakang motosikal sebelum kanak-kanak itu berguling dan hampir dilanggar tayar lori yang datang dari arah bertentangan.

KERETA yang melanggar motorsikal keluarga malang itu. -Foto Daily Mail

Bagaimanapun, si ibu pantas bertindak menarik lengan baju kanak-kanak itu sebelum mencapai hudnya, seterusnya mengalihkan anaknya itu daripada tayar lori yang pantas menghampiri.

Sepanjang itu, suaminya langsung tidak menyedari apa yang berlaku sehingga selepas kejadian, apabila dia menoleh ke belakang dan melihat mereka di atas jalan menyebabkannya terus berhenti di tepi jalan untuk menyelamatkan mereka.

Netizen yang melihat klip video itu memuji tindakan pantas ibu berkenaan, termasuk menganggapnya seperti ‘ninja.’ Ramai juga yang menyifatkannya satu keajaiban apabila kanak-kanak terbabit langsung tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:04 AM