ANAK mangsa selamat dirawat dihospital. FOTO/AGENSI
Agensi

Bengkulu: Gara-gara berang tidak dibenarkan memeriksa telefon milik isterinya, seorang lelaki bertindak kejam apabila menetak leher wanita itu yang sarat hamil sebelum membelah perut dan mengeluarkan bayi dalam kandungan mangsa.

Bangka Pos melaporkan, dalam kejadian yang berlaku di Tanjung Jaya Kota Bengkulu semalam, wanita itu yang dikenali sebagai Erni Susanti, 29, maut manakala anaknya pula selamat dan dirawat di hospital.

Jurucakap polis berkata, suspek yang dikenali sebagai, Romi Sepriawan, 30, sering bergaduh dengan isterinya selepas wanita itu enggan memberitahu kata laluan di telefon bimbitnya.

Katanya, pada malam kejadian, pasangan itu sekali lagi bergaduh dan secara tiba-tiba Romi mengambil parang sebelum menetak leher isterinya yang berbaring di atas katil.

“Tidak cukup dengan itu, suspek bertindak membelah perut isterinya dan mengeluarkan bayi dalam kandungan.

“Suspek kemudiannya keluar rumah sambil mendukung bayi berkenaan dan menyerahkan kepada seorang jiran untuk dihantar ke hospital,” katanya.

Menurutnya, bayi berkenaan selamat dan dirawat di hospital manakala suspek ditangkap di rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:48 AM