MURAT memuat naik gambarnya bersama ibu untuk mendesak bukti wanita itu masih hidup. Foto - Agensi
AFP

BEIJING: Golongan etnik Uighur melancarkan kempen global menggunakan media sosial untuk mendesak China memberikan bukti video bahawa ahli keluarga mereka yang hilang masih hidup.

Kempen itu dilancarkan semalam menggunakan tanda pagar #MeTooUyghur sehari selepas China mendedahkan video menunjukkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya penyair serta pemuzik Uighur, Abdurehim Heyit mengatakan dia masih hidup dan sihat.


VIDEO disiarkan China sebagai bukti Abdurehim masih hidup. Foto - Reuters

Video itu disiarkan selepas Turki mengeluarkan kenyataan mendakwa Abdurehim maut dalam penjara di China dan menyelar perbuatan Beijing menahan Uighur di kem ‘pendidikan semula’ di wilayah terpencil Xinjiang.

Murat Harri Uyghur, aktivis di Finland yang mewujudkan tanda pagar itu berkata: “Pihak berkuasa China menunjukkan video kononnya membuktikan Abdurehim masih hidup. Sekarang kami mahu tahu pula apa yang berlaku dengan jutaan Uighur lain?”

Tanda pagar itu mencetuskan tindakan Uighur di seluruh dunia yang mengongsikan gambar ibu bapa, anak dan rakan yang hilang, yang mahukan maklumat orang tersayang mereka.

Ramai Uighur di luar negara tidak dapat menghubungi rakan dan keluarga di China sejak bertahun-tahun lalu susulan panggilan telefon dan platform sembang dikawal serta dipantau ketat oleh China, kata aktivis Rushan Abbas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 1:10 PM