PASUKAN penyelamat berkejar ke kawasan yang terjejas akibat helikopter tentera Turki terhempas. -Foto EPA
AFP

EMPAT anggota tentera maut selepas helikopter angkatan tentera Turki terhempas di kawasan kediaman di Istanbul, semalam, kata gabenor wilayah itu.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya berkata, tiada anggota tentera atau orang awam lain yang cedera selepas helikopter itu terhempas di daerah Cekmekoy.

Kejadian itu berlaku pada 6.51 petang waktu tempatan (11.51 malam waktu Malaysia).

Rakaman stesen televisyen Turki menunjukkan asap hitam tebal dari belakang dinding putih di lokasi kejadian yang terletak pada sebelah Asia Istanbul.

Yerlikaya berkata, pendakwa raya Istanbul sudah melancarkan siasatan berhubung punca kemalangan itu.

November lalu, empat anggota tentera Turki maut selepas helikopter tentera jatuh di satu lagi kawasan perumahan di Istanbul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 8:37 AM