SURUHANJAYA Pilihan Raya Thailand semalam, menolak pencalonan Puteri Ubolratana. FOTO/AFP
Reuters

BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand semalam, menolak pencalonan kakak Raja Thai untuk bertanding merebut jawatan perdana menteri dalam pilihan raya umum Mac ini.

Suruhanjaya itu menyiarkan senarai calon parti untuk jawatan perdana menteri tanpa nama Puteri Ubolratana, 67.

Sebelum ini, adik puteri itu yang juga Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, menyifatkan pencalonan kakaknya sebagai kerabat diraja terdekat tidak sesuai dan bertentangan dengan perlembagaan.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, kerabat diraja adalah ‘melebihi politik’ dan tidak wajar memegang sebarang jawatan dalam politik.

Beberapa jam selepas pencalonannya diumumkan, Raja Vajiralongkorn, memgeluarkan kenyataan menyatakan tidak sesuai bagi kerabat diraja menceburi politik.

Pilihan raya pada 24 Mac ini adalah yang pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 2014.

Thailand mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan sejak 1932 tetapi keluarga diraja mempunyai pengaruh kuat dan dipuja jutaan rakyat negara itu.

Pencalonan Ubolratana minggu lalu, langkah mengejut parti Thai Raksa Chart yang ditubuhkan penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Puteri Ubolratana melucutkan gelaran diraja selepas berkahwin dengan rakyat Amerika Syarikat dan pernah membintangi drama bersiri dan filem aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:27 PM