SUSPEK yang didakwa dililit ular hidup di leher dan pinggang. FOTO video Twitter
Reuters

JAKARTA: Polis Indonesia memohon maaf dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawainya yang melilit ular hidup di leher suspek untuk menakutkannya supaya membuat pengakuan ketika soal siasat di Papua.

Insiden itu menjadi tular di internet selepas satu rakaman video menunjukkan suspek yang didakwa mencuri telefon bimbit itu menjerit ketika ditakutkan dengan ular oleh seorang pegawai polis.

Dalam rakaman video itu juga, terdapat suara seseorang mengarahkan suspek membuka mata dan mengancam untuk menyumbat ular terbabit dalam mulut dan seluarnya.

Ketua Polis Jayawijaya, Tonny Ananda Swadaya berkata, tindakan itu amat tidak profesional dalam melakukan soal siasat dan pihaknya memohon maaf.

Katanya, ia adalah tindakan yang diambil oleh pegawainya sendiri untuk memaksa suspek membuat pengakuan dengan menggunakan ular tidak berbisa dan jinak.

“Kita sudah mengambil tindakan tegas terhadap pegawai itu,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 4:41 PM