Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30an disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik di luar premis di Lordship Lane di East Dulwich. Foto Daily Mail
Agensi

LONDON: Seorang lelaki maut akibat dikelar di leher dalam satu pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada rokok di luar sebuah kedai 24 jam, semalam.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik di luar premis yang terletak di jalan Lordship Lane di East Dulwich pada jam 3 pagi (waktu tempatan) semalam.

Penolong pengurus kedai berkenaan, Muhammad Khan memberitahu Mail Online, sepupunya berkerja ketika pergaduhan tercetus di dalam premis itu antara dua lelaki kulit hitam berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Suspek meminta mangsa memberikannya rokok tetapi mangsa enggan menyebabkan mereka bergaduh.

“Suspek kemudiannya mengeluarkan pisau dan beberapa orang di dalam kedai ini cuba menghalangnya tetapi dia terus menikam mangsa di leher sebelum melarikan diri,” katanya.

Ujarnya, daripada rakaman kamera keselamatan dia menganggarkan pisau digunakan suspek adalah sepanjang 15 sentimeter

Katanya, dia tidak pasti sama ada mangsa dan penyerang saling mengenali.

Sementara itu, polis London memberitahu, tiada tangkapan dilakukan lagi dan pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 1:13 AM