ZREIK (kiri) maut selepas bakar diri sendiri. FOTO/AGENSI
AFP

BEIRUT: Seorang lelaki warga Lebanon maut akibat cedera terbakar selepas membakar dirinya sendiri di sekolah anak perempuannya kerana pertengkaran mengenai yuran yang dikenakan pengurusan sekolah.

George Zreik menyimbah dirinya dengan petrol dan membakar dirinya pada Khamis lalu di Sekolah Menengah Our Lady of Kaftoun di daerah Koura, utara Lubnan, kata doktor yang merawatnya.

“Lecuran disebabkan terbakar meliputi 90 peratus pada tubuhnya,” kata Ketua jabatan pembedahan Hospital al-Salam di Tripoli, Gabriel al-Sabaa.

Zreik dilaporkan kecewa selepas pihak sekolah enggan mengeluarkan dokumen sebagai bukti anak perempuannya belajar di sekolah itu, kata Agensi Berita Nasional kendaliaan kerajaan.

Beliau memerlukan dokumen berkenaan untuk menukarkan anaknya ke sekolah lain namun pihak sekolah menahan sijil itu kerana Zreik gagal membayar yuran yang tertunggak.

Pihak sekolah berkata, sejak 2014, dua anak-anak Zreik bersekolah di situ tanpa dikenakan bayaran.

“Bagaimanapun, bapa kanak-kanak itu masih perlu membayar perkhidmatan bas, alat tulis dan yuran aktiviti kokurikulum.

“Sekolah sudah menghantar empat notis bertulis sejak awal tahun persekolahan agar Zreik menjelaskan yuran berkenaan namun gagal melunaskannya,” kata pihak sekolah dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:22 PM