Gunung Merapi. FOTO/AFP
AFP

YOGYAKARTA: Gunung Merapi, antara gunung berapi paling aktif di dunia, menghamburkan abu kelabu ke udara ketika lahar merah pekat mengalir turun dari kawah.

Pihak berkuasa tidak menaikkan status amaran gunung itu selepas letusan berlaku petang semalam.

Namun sebarang aktiviti Merapi menimbulkan kebimbangan dan penduduk tempatan sebelum ini diarahkan tidak menghampiri zon larangan pergi sejauh lima kilometer sekitar kawah berhampiran Yogyakarta.

Letusan terbesar terakhir gunung itu pada 2010 mengorbankan lebih 300 penduduk dan memaksa 280,000 berpindah.

Ia adalah letupan paling kuat Merapi sejak 1930, yang membunuh kira-kira 1,300 penduduk, manakala satu lagi letupan pada 1994 meragut 60 nyawa.

Di seluruh Indonesia, Gunung Karangetang di Sulawesi juga meletus minggu ini dengan lebih 100 penduduk berhampiran diarahkan berpindah dari kawasan terpencil.

Indonesia memiliki lebih 17,000 pulau dan gugusan kepulauan kecil dan hampir 130 gunung berapi aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:40 PM