SEBUAH trak bomba tiba di hadapan pusat latihan Flamengo di Rio de Janeiro, Brazil. FOTO Reuters
AFP

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala tiga lagi cedera dalam kebakaran yang membabitkan sebuah pusat latihan bola sepak milik kelab terkenal Brazil, Flamengo di Rio de Janeiro, hari ini, lapor AFP.

Stesen televisyen tempatan melaporkan, kebakaran kira-kira jam 5 pagi itu membabitkan sebuah bangunan yang menempatkan pemain bola sepak remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Rakaman kejadian di daerah Vargem Grande itu turut disiarkan dari udara yang menunjukkan api berjaya dikawal dalam tempoh dua jam selepas kejadian.

Menurut portal berita G1, pusat latihan moden itu menjadi tempat latihan pasukan bola sepak Flamengo serta pasukan liga remaja, Ninho do Urubu.

Sehingga kini, punca kejadian itu masih lagi disiasat oleh pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:08 PM