AFP

DETROIT: Sebuah mahkamah di sini menjatuhi hukuman penjara seumur hidup kepada seorang bekas pemandu Uber selepas didapati bersalah membunuh enam orang dan mencederakan dua lagi dalam satu kejadian tembakan pada 2016.

Jason Dalton, 48 yang sebelum ini mengaku bersalah melepaskan tembakan rambang di sebuah tempat letak kereta di Michigan diarah Hakim Mahkamah Sirkit Daerah Kalamazoo, Alexander Lipsey dipenjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol.

Pendakwa raya berkata, pada 20 Februari 2016, Dalton

melepaskan tembakan rambang di sebuah tempat letak kereta di luar sebuah pangsapuri, kedai menjual kereta dan restoran Cracker Barrel di Kalamazoo, kira-kira 240 kilometer di barat Detroit.

Dia ditahan dan didakwa dengan 16 pertuduhan termasuk enam pembunuhan dan dua cubaan membunuh.

Pada 7 Januari lalu, Dalton tiba-tiba mengaku bersalah ke atas semua tuduhan ketika juri sedang dipilih untuk perbicaraannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 11:30 AM
JASON Dalton. - Foto AFP