KERETA api Seemanchal Express yang bergerak dari Delhi menuju ke Seemanchal tergelincir awal pagi tadi. FOTO/AGENSI.
AFP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya enam penumpang terbunuh dan lebih 20 cedera selepas sebuah kereta api ekspres tergelincir di Bihar di timur India, kata seorang pegawai.

Sembilan gerabak kereta api Seemanchal Express yang bergerak dari Delhi menuju ke Seemanchal tergelincir awal pagi tadi berhampiran stesen Sahadai Buzurg, kira-kira 30 kilometer ke timur ibu negeri Patna.

“Enam individu meninggal dunia dan hampir 24 tercedera,”kata jurucakap Kereta api India, Rajesh Kumar.

Rakaman televisyen tempatan menunjukkan orang ramai mengemuruni kawasan kemalangan ketika petugas kecemasan membetulkan gerabak yang terbalik.

Pasukan penyelamat dengan anjing pengesan digunakan untuk mencari penumpang yang terperangkap dalam gerabak.

Kebanyakan penumpang sedang tidur ketika kereta api yang bergerak sejauh 55 kilometer sejam itu tergelincir dari landasan kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan.

Menurut Kereta api India, keretakan pada rel kereta api adalah punca kemalangan itu.

Syarikat itu turut berjanji untuk melakukan siasatan terperinci selepas beberapa hari kerajaan India mengesahkan keselamatan di rel kereta api sudah dipertingkatkan.

Kementerian pengangkutan kereta api mengesahkan, bayaran pampasan RM28,600 (500,000 rupee) akan diberikan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Rangkaian pengangkutan kereta api di India sudah lama digunakan sebagai pengangkutan utama jarak jauh, tetapi ia ketinggalan dari sudut infrastruktur sehingga membawa kepada bencana di negara itu.

Hampir 150 individu terbunuh selepas kereta penumpang tergelincir di Bihar pada 2016, dianggap sebagai kemalangan paling dahsyat beberapa tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 3:44 PM